Wanita Dalam Tamadun Yunani
Dalam tamadun Yunani, pemikiran yang mendominasi tentang wanita dalam masyarakat Yunani adalah mereka itu rendah dan akal mereka cetek, dikuasai oleh emosi dan syahwat. Aristotle telah menggelar wanita sebagai “unsur tidak berakal dalam jiwa kemanusiaan.” Ia melihat bahawa wanita wajib tunduk kepada lelaki yang memiliki unsur akal. Wanita merupakan bahagian negatif dalam kehidupan lalu dia mesti mendengar dan taat kepada lelaki. Mereka berada pada martabat pertengahan antara lelaki Yunani merdeka dan hamba yang dibebaskan. Mereka tidak dibenarkan untuk memilih calon suami ketika telah sampai usia untuk berkahwin. Keluarganya lah yang akan memaksanya untuk berkahwin dengan sesiapa yang mereka kehendaki. Mereka hidup tersingkir dari medan politik dan pemerintahan. Siapa lah mereka di sisi lelaki Athens melainkan ketua khadam dan tempat untuk melahirkan anak serta wasilah untuk merealisasikan kenikmatan dan juga kebahagiaan bagi lelaki.
Wanita Dalam Tamadun Rom
Dalam tamadun Rom, wanita dianggap sebagai orang yang kurang akalnya. Mereka tiada keahlian untuk memiliki harta atau melakukan akad atau tugas pewasiatan atau melaksanakan kesaksian atau pun memegang jawatan. Undang-undang Rom menukilkan perkara tersebut. Kewanitaan bagi mereka bermaksud tiadanya kelayakan. Menurut undang-undang, amanat wasiat untuk kaum wanita dalam pandangan tamadun ini adalah untuk kaum kerabatnya dari kalangan adik-beradik kemudian kepada anggota keluarganya. Kaum lelaki sahaja yang memiliki hak kekuasaan serta hak mengelola wanita yang dimilikinya. Dia boleh menjual wanita yang berada dalam rumah mereka, menyiksa atau bahkan membunuh mereka.
Wanita Dalam Tamadun Cina
Dalam tamadun Cina, wanita digelar “Air penyakit yang mencuci dan menyapu masyarakat dari kebahagiaan dan harta”. Kaum lelaki menganggap wanita jahat dan digunakan hanya untuk melayan kehendaknya. Ia memperlakukan mereka menurut cara yang disukainya. Wanita, khususnya dari kasta tinggi hidup dalam keadaan hampir terpencil sama sekali. Mereka tiada hak untuk keluar daripada rumah atau untuk menerima kunjungan sesiapa bahkan untuk bergaul dengan orang lain. Terdapat rumah-rumah yang dikhususkan untuk wanita dan juga rumah-rumah untuk lelaki. Wanita diharamkan dari memperoleh harta pusakanya samada daripada suaminya atau daripada bapanya. Wanita hanya memiliki apa yang diberikan kepada mereka ketika berumahtangga.
Wanita Dalam Tamadun India
Dalam tamadun India pula, wanita dianggap malapetaka dan wabak kematian. Mereka dianggap lebih dahsyat daripada neraka, lebih berbisa daripada racun serta lebih berbahaya daripada ular. Para wanitanya suka berkahwin awal dan boleh untuk tidak mentaati walinya dan tidak patuh kepada perintah mereka jika telah menjangkau lebih tiga tahun dari usia balighnya dan belum lagi dikahwinkan. Oleh itu, walinya akan berusaha untuk mengahwinkannya pada masa dia berusia dua belas tahun atau kurang dari itu. Adakalanya mereka dikahwinkan seawal usia lapan tahun. Dalam hidupnya, suaminya memilikinya sama seperti memiliki harta, tiada pembelaan dan perlindungan untuknya, tidak juga berhak untuk persaksian. Lelaki berhak untuk menjadikannya taruhan dalam perjudian.
Lelaki boleh berkahwin lagi jika si isteri telah mati. Namun begitu, wanita tidak boleh berbuat demikian dan terus menjadi janda di sisa-sisa hidupnya. Mereka akan dipuji jika [mengamalkan adat ‘sati’] iaitu membakar dirinya dengan api untuk mengikuti suaminya yang telah mati sebagai menunjukkan kesetiaannya dan melarikan diri daripada kepayahan hidup. Adat ini masih berleluasa hingga beberapa kurun sehingga umat Islam menghapuskannya dan seterusnya [turut dihapuskan oleh] kaum penjajah Inggeris.
Wanita Dalam Tamadun Jepun
Dalam tamadun Jepun, mereka menganggap wanita sebagai kesenangan bagi lelaki. Wanita dipergunakan sekehendak hati mereka. Mereka boleh menjual isteri atau anak perempuan mereka. Antara amalan mereka juga, seorang lelaki yang memiliki wanita akan menyewakannya, iaitu wanita yang tidak bersuami atau seorang anak gadis dalam tempoh tertentu dengan individu tertentu. Anak perempuan sebelum dia bersuami dianggap sebagai milik bapanya, sementara jika sudah bersuami menjadi milik suaminya dan selepas suaminya mati mereka berada di bawah wasiat kerabat suami. Sebahagian undang-undang ini terus dipraktikkan sehingga akhir kurun ke sembilan belas Masehi.
Wanita Dalam Tamadun Antara Dua Sungai
Dalam tamadun antara dua sungai, para pemerintah dari kalangan Assyria dan Babilon tidak membenarkan ibu bapa mengahwinkan anak perempuan mereka. Demikian pula, anak perempuan tidak boleh berkahwin sendiri. Hak ini diberikan kepada ahli nujum. Anak-anak gadis yang telah baligh dikumpulkan setiap tahun bersama ahli nujum. Mereka akan menjual gadis-gadis tersebut di pasar dengan secara lelong. Wali kepada gadis itu perlu membayar harga tertentu kepada si suami jika lelaki itu tidak menyukainya lagi. Anak gadis itu pula akan pergi kepada dewa kecantikan sekali dalam seumur hidupnya untuk menyerahkan dirinya kepada orang asing yang memilihnya untuk menggaulinya.
Wanita Dalam Tamadun Parsi
Dalam tamadun Parsi, orang-orang Parsi menganggap wanita sebagai pembantu kepada ahriman (syaitan). Dia melambangkan keburukan yang terjelma. Dia adalah milik lelaki. Lelaki boleh membunuhnya dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya jika dia mahu. Dia juga merupakan barangan yang boleh digunakan sesuka hati seperti menggunakan barang-barang miliknya yang lain. Dia tidak boleh belajar atau keluar daripada rumah. Dia hidup di dalam rumah dan ditutup seperti barang tertentu yang lain oleh si pemilik rumah.
Wanita Dalam Tamadun Turki Lama
Dalam tamadun Turki Lama (sebelum Islam), orang-orang Turki menganggap wanita itu sangat lemah. Mereka hanya digunakan untuk melampiaskan nafsu syahwat oleh para hartawan. Kaum wanita berkumpul secara individu atau berpuluh-puluh orang di rumah ketua atau pemimpin dan tinggal di sana supaya dapat dijadikan tempat untuk bersenang-senang. Pada siang harinya mereka pergi mengerjakan ladang-ladang dan bekerja di kebun-kebun. Sementara kedudukan ibu di sisi mereka adalah seseorang yang dihormati dan dilayan dengan baik (diberi khidmat).

Tiada ulasan:
Catat Ulasan