Ta’rif Ikhtilad :
Perhimpunan yang melibatkan bilangan beberapa orang lelaki bersama-sama wanita dalam suatu tempat. Ianya merupakan perkara yang memang berlaku dalam kehidupan manusia secara amnya.
Keadaan Ikhtilad ini berlaku berpandukan suasana masyarakat, keagamaan dan sosialiti sesebuah institusi kemasyaratkatan tersebut. Perkara ini terjadi hatta dalam perkara ibadat sekalipun, contohnya dalam melakukan solat berjemaah, Tawaf, Wuquf di ‘Arafah, melontar di Jamrah dan lain-lain lagi urusan ibadat umat Islam. Bahkan dalam beberapa kes tertentu ia diharuskan dengan beberapa disiplin, untuk mengelakkan mashaqqah dalam kehidupan masyarakat seharian. Antara kes yang boleh dijelaskan ialah, kes pendakwaan di mahkamah dan suasana tempat perkerjaan.
Ikhtilad yang dijelaskan di atas adalah dibolehkan berdasarkan dhorurat yang berlaku dan ianya menepati beberشpa kaedah feqh, antaranya :
الضرورات تبيح المحضورات
الضرورات تقدر بقدرها
الحاجة تنزل منزلة الضرورة
الضرر الأشد يدفع بالضرر الأخف
Keharusan Ikhtilad dengan berdasarkan kaedah feqh tersebut mestilah dilihat berdasarkan keadaan yang memaksa, bukannya dengan tuntutan nafsu dan shahwat.
Perbezaan di antara Ikhtilad dan Khalwah :
Ta’rif Khalwah : seorang lelaki yang berada bersama-sama seorang wanita ajnabi dalam suatu tempat dengan ketiadaan suami kepada wanita tersebut ataupun mahramnya.
Hukum khalwah bagaimanapun dibolehkan sekiranya keadaan mendesak, sepertimana dalam kes rawatan yang menyebabkan berlakunya khalwah dengan sebab keuzuran mahram wanita tersebut untuk menemaninya. Namun adalah tidak digalakkan bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini dan terjadinya fitnah. Larangan tersebut dapat dilihat dari hadis Nabi s.a.w : لا يخلون رجا بإمرأة إلا كان ثالثهما الشيطان - رواه الترمذى
Hukum asal bagi perlakuan Ikhtilad adalah harus manakala hukum melakukan khalwah adalah haram jika tidak terdapat di sana keadaan yang dibolehkan oleh syara’. Ianya bertujuan untuk mengelak dari berlakunya fitnah dalam masyarakat.
Secara ringkasnya ia bolehlah dilihat dalam perkara berikut :
--> Wanita pada zaman Rasullillah s.a.w mengahdiri sembahyang berjemaah, solat Jum’at dan majlis-majlis ilmu
--> Wanita pada zaman Nabi s.a.w turut menyertai peperangan.
--> Perbualan di antara Saidina Musa a.s dengan dua orang puteri Nabi Shu’aib.
--> Perbualan di antara Nabi Sulaiman a.s dengan Ratu Sabak..
--> Urusan perniagaan dan yang seumpamanya adalah tidak dapat lari dari perkara Ikhtilad
Termasuk dalam kaedah ‘umumil Balwa yang tidak dapat dielakkan tetapi mestilah berdasarkan disiplin.
--> Berdasrkan kaedah feqh yang telah dijelaskan di atas.
D. Abdul Karim Zaidan menjelaskan beberapa keadaan yang dibolehkan berlakunya Ikhtilad :
@ Keadaan darurat dan hajat
@ Berjihad
@ Menuntut Ilmu
@ Memuliakan tetamu dengan ditemani oleh suami atau mahram.
@ Terdapat keadaan lain yang tidak disebutkan di sini dan ianya bolehlah ditentukan berdasarkan maslahah dan qias selagimana ianya meraikan disiplin syariat dan batas-batas hukum.
# Wanita dan lelaki mestilah berada dalam keadaan menutup aurat dengan sempurna dan mempunyai hijab (penutup) bagi memisahkan mereka berdua. Ia berpandukan firman Allah s.w.t :
يأيها النبى قل لأزواجك وبناتك ونساء المؤمنين يدنين عليهم من جلبيبهن - الأحزاب 59
# Wanita tersebut tidak memakai bau-bauan atau perhiasan yang dapat dihidu dan dilihat oleh lelaki ajnabi, berpandukan firman Allah s.w.t : ولا يبدين زينتهن الا لبعولتهن - النور 31
# Tidak menyebabkan berlakunya sentuhan seperti bersalaman atau seumpamanya. Ianya menjadi hukum yang disepakati oleh ulama kerna larangan menyentuh adalah lebih berat dari larangan untuk melihat wanita. Firman Allah s.w.t : قا للمؤمنين يغضوا من أبصرهم ويحفظوا فروجهم، ذلك أزكى لهم، إن الله خبير بما يصنعون **
وقل للمؤمنات يغضضن من أبصرهن ويحفظون فروجهن ** النور 30- 31
# Perbualan yang dilakukan tidaklah menjurus kepada perkara shahwat ataupun meransang kepada hawa nafsu. Bahkan adalah digalakkan untuk memendekkan tempoh percakapan pada kadar hajat dan maslahah dengan menjaga adab dan maruah. Firman Allah s.w.t : فلا تخضعن بالقول فيطمع الذى فى قلبه مرض وقلن قولا معروفا - الأحزاب 32
# Tidak mempunyai niat untuk melihat kepada lelaki atau wanita tanpa adanya keperluan. Ianya bertepatan dengan firman Allah s.w.t dalam surah An-Nur ayat 30 dan 31 sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
# Tidak mempunyai shahwat ataupun nafsu ketika mana melihat di antara satu dengan yang lain. Ia merupkan mafsadah yang jelas diharamkam oleh syariat. Ia jelas sebagaimana yang telah disebut di dalam hadis baginda Nabi s.a.w :
لا تتبع النظرة النظرة، فإن الأولى لك والآخرة عليك - رواه أحمد والدارمى
# Mengurangkan tempoh percakapan pada kadar yang sesuai mengikut keperluan, bagi mengelak berlakunya perkara yang shubhat dan fitnah.
# Mestilah maslahah dari perlakuan Ikhtilad tersebut lebih besar dan utama dari mafsadah yang akan berlaku.
Sekiranya semua disiplin ini dapat dipelihara maka ianya adalah diharuskan oleh syariat, tetapi jika berlaku sebaliknya ianya tetap dihukumkan sebagai haram dengan sebab ternafinya syarat yang telah ditetapkan di atas. Imam An-Nawawi bagaimanapun mengharamkan Ikhtilad sekiranya percampuran tersebut melibatkan seorang wanita dengan ramai lelaki dan mengharuskannya sekiranya melibatkan ramai wanita tetapi seorang lelaki. ( rujuk Sohih Muslim, jilid 9 m.s 109}.
Hukum bercakap dengan wanita malalui talian telefon :
Secara asasnya ia tidak boleh dita’rifkan sebagai ikhtilad ataupun khalwat. Ini kerana ikhtilad melibatkan percampuran yang bersifat umum pada suatu tempat, sedangkan perbualan telefon tidak melibatkan unsur-unsur tersebut. Begitu juga dengan khalwat, walaupun ianya hanya melibatkan interaksi dua pihak tetapi tidak melibatkan suatu tempat percakapan. Namun ianya masih tetap dihukumkan sebagai harus sekiranya ia menjaga disiplin yang telah ditetapkan dalam perkara ikhtilad. Hukum tersebut juga meliputi dalam semua perkara yang melibatkan perbualan dengan menggunakan kemajuan teknologi semasa, sama ada dengan menggunakan talian telefon, yahoo masengger dan yang seumpamanya.

.jpg)
.jpg)
.jpg)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan